Ahad, Oktober 10, 2010

Puisi terakhir

Andai ini puisi terakhir,

Aku harapkan kau bersiaga,

Dari iblis yang sangat durjana.


Andai ini puisi terakhir,

Pena dakwat sudah pun mengering,

Akal dan iman wajib seiring.






26 Jamadilakhir 1430H
1.05am



*Puisi ini diletakkan sebagai entri paling atas, sebagai nasihat kepada kamu, dan sudah tentu kepada diri penulis sendiri.

Untuk bacaan entri terbaru, sila lihat entri di bawahnya.

Ahad, November 08, 2009

Hendak melawan musuh tiada

Aku melihat dari jauh,

Akan apa perbalahan dan rusuh,

hati yang berkobar jiwa nan lapar,

bendera semangat berkibar dada berdebar,

persetan maki umpatan dengki,

rabbul Tuhan Maha Mengetahui,


Aku dengar dengan teliti,

Segala bisik rayu sedih sendu,

Tangan menadah, akal pula seribu,

Bertinggung, melarat hidup merempat,

Harap belas ikhsan insan,

Cemuh keji jadi amalan.


Aku menangis dalam hati,

Kelopak rindu menitis pagi,

Mengalir laju basahkan bumi,

Darah dan daging terpisah cerai,

Gunung berapi hancur berkecai,

Tusukan kaca nista merobek mata,


Aku bangun dari dudukku,

Menongkat kayu Musa, menyarung baju Daud,

Menghambur senjata kata, menghunus petir ribut,

Membenam celaka, menghapus para penyiksa,

Awan hitam berguguran, kuburan bertebaran,

Palitan darah dibasahi hujan,


Aku berdiri, menanti untuk kesekian kali.






5 November 2009
1.16pm

Raksasa

i

Hentam tumbuk rakus perkosa,

Tendang pukul dengus perkasa,

'Akulah raja!'

Depan belakang kiri dan kanan,

Habis dipunggah, diselerak, dirongkah,

Atas bawah luar dan dalam,

Padang menjarak, radang teriak.

Kuntum melati dipijak injak,

Burung dan ikan lari selerak,

Sungai tasik kering kontang,

Semua tunduk alah, semua takut salah.

Satu kurun, aku berkuasa,

'Akulah Maha Esa'.


ii

Adil zalim lagak perwira,

Menghukum marhaen kononnya berdosa,

Syurga neraka ilusi,

Wayang gambar jadi saksi,

Lawan diseksa disalib dibakar,

Direjam rogol gadis yang suci,

Arak menjadi suci, susu berubah masam,

Daging-daging dilapah koyak,

Kurus segala rakyat bawah, ke sana sini meminta-minta,

Atas menara aku beradu,

Senyap sunyi bercadar baldu,

'Apakah yang bising lolong di bawah sana?'

Lalat langau menghurung santapan,

'Biarkan saja, Tuhan Pemberi rezeki.'


iii

Bulan bintang matahari melingkar bulatan suci,

Deru ombak semakin membuak,

Angin berputar arah,

Hamba sahaya mengangkat tombak,

Melempar ke tanah cangkul dan bajak,

Meluru ke istana nan satu,

Dendam tangan terbuku,

Pagar diroboh, pengawal dibunuh,

Darah menjadi lautan,

Raksasa dihumban,

Jatuh pecah percikan merah,

Raksasa bukannya kekal,

Hanya mitos para syaitan berwajah.




4 November 09
12.57pm

Isnin, November 02, 2009

Pernahkah kau melihat alir sungai?

Dari mana asalnya air?

Kau perhatikan dua cahaya, ia bercantum menjadi satu.

Dengarkan tiga bunyi, lalu ia berubah menjadi sepi.

Ucapkan kebaikan dari kedua-dua gunung dan lembahmu,

Usapilah air di muka, kerana dari situ tancap pandang yang pertama.

Kau berjalan lagi.

Kau kan temui lembah kering, kosong.

'Di sini pernah dilimpahi, lalu ia sirna kembali.'

Seperti asal awalnya.

Kerana titis embun tak kekal di atas dedaunan.

Merpati akan terbang pulang ke sarang.

Sehingga tiba di satu pergunungan, matamu kan menatap pada cahaya.

Kepala kan mendongak, jiwa membuak.

Di situ kau luahkan segala, kau bingung rungsing.



Seolahnya, kau kembali pada mulanya tadi.

'Dari mana asalnya air?'

Satu suara dari nubari,

'Dari sana.'





15 Zulkaedah 1430h
11.13pm

Ahad, November 01, 2009

Kau memilikiku.

Rasa cemburu nanar menjalar,

Api cinta kita berkobar-kobar,

Darah membuak panas rimas,

Aku dihimpit bunga-bunga mawar putih,

Kau seorang diri berteman sunyi.


'Tidakkah kau tahu, mereka mengerumuniku kerana topeng kebaikan yang ku sarung,

Bersamamu, wajahku ditelanjangi tanpa punya apa-apa?'

Aku sirna menghadapmu,

Kita berlarian di tepian pantai pada senja itu,

Menunggu gelap malam.

Kemudian kita langsung diam.






1 November 2009/13 Zulkaedah 1430h
7.46pm

Puisi cinta untukmu

Bacalah bait puisi cintaku,

Bagaimana selok belok indah ritmanya,

Seni prosa syahdu merintih sayu,

Kerana aku sang peminta,

Bukannya pemberi cinta.

Maka kau tancaplah busur panahmu padaku.

Agar aku dapat merasai kesakitannya,

Moga kau mengasihani diriku,

Lalu kau datang untuk mencabutnya kembali,

Sembuhkan diriku semula,

Yang asalnya tadi hanyalah peminta.



13 Zulkaedah 1430h
10.55am

Gema yang kembali

Seribu tahun gema suara ini,

Ditangkap gunung tinggi, digenggam erat.

Dilantun kembali,

Kepada sang pemiliknya.


Tebing tinggi sayup,

Antara aku dan kau ada jaraknya,

Menatap bintang yang jauh,

Hati yang semakin luluh,


Cermin sejarah terjatuh dari tangan,

Pecah berderai ia,

Gema itu berpencaran,

dan ia kembali lagi, ke sini.







13 Zulkaedah 1430H
10.12am

Cemburu

Pisau diasah berkilat tajam,

Kulit inginnya disiat dalam,

Lantas dihunus seni tari bermula,

Gong dipukul, gelas dilaga. Hati terketar, nafsu terjaga.

'Rasakan jeritan batinku paling dalam, aku yang sejuta tahun lampau.'

Ke kanan ke kiri, pisauku diacu,

Ke mana yang kena itulah arah tuju.

Mawar merah menitik darah,

Sungai jernih terus keruh karat.

Badannya berbirat, berbekas luka.

'Rasakan!'

Kamu sudah tahu sekarang mana yang adil, dan mana zalimnya,

Jika berlawan denganku, begitulah rasa akhirnya.




31 Oktober 09
11.29pm

Isnin, Oktober 26, 2009

Kita pernah bertemu, menghirup secangkir dosa

Dulu, sebelum masa mula terdetik,

Waktu buah akal belum dipetik,

Kita berdua,

Menghirup sedikit rasa,

Sesal itu hikmahnya seribu.

Tiang kepada pondok, berlabuhnya rasa seronok.

Kau dan aku,

Kita bertiga.

Berlari anak, mengelilingi semak.

Kau dan aku,

Kita berkira.

'Alangkah indah jika begini sebegini, awan rendah menutup bumi'

Kau dan aku,

Rasa itu jatuh menitik, umpama hujan menimpa dedaunan,

Bagai singa dihimpit kelaparan.

Dulu,

Waktu dulu,

Tatkala bunga nama belum berputik,

Ketika buruk ternampak cantik,

Kita pernah bertemu sua.

Jua kita asyik berseloka.

Badan meliuk ikut irama,

Hati berdebar saling berkhabar.


Bilakah tibanya waktu itu kan kembali? Agar sesal bertukar ganti,

Pokoknya hikmah tegak berdiri.




7 Zulkaedah 1430H
10.12pm

Sabtu, Oktober 24, 2009

Noktah

Ini adalah noktah.

Kamu tahu apa selepasnya noktah?

Itulah kamu.

Usahlah gundah mencari arah,

Kerana halatuju itu tetap satu.

Bukankah ia tetap kekal di situ?

Petunjuknya adalah pasrah.



6 Zulkaedah 1430H
11.04pm

Jumaat, Oktober 23, 2009

Hijrah

Muatan dipungut,

Hasil jualan dikira-kira.

Manusia bersimpang siur, heboh dan kecoh.

Pedati berlalu, kudanya disebat membirat.

Manusia gemuk di dalamnya, asap shisha berkepul keluar kereta.


'Mereka menuju ke gerbang kota' katanya kanak-kanak yang tidak berbaju.

Wanita tua dan muda beriringan, memikul beban di kepala.

Pemuda di kakilima menjual batu permata, sebagai pendinding dari malapetaka.

Seekor anjing menyalak ke arah sebuah tingkap. Terdapat pasu terisi sejambak lili di atasnya beranda.


'Keinginan kamu ialah apa yang sedang membentukmu,' kata seorang pendita yang sedang dikerumuni pelbagai indah rupa manusia.




4 Zulkedah 1430H
6.15pm