29.12.10

Sirah syiah-sunah pecah

Tidakkah adanya Imam?

tidakkah adanya Imam?

tidakkah adanya Imam?


yang menyatukan

sudah berjuta tahun pecah

bertengkar bermegah

merobek hati menyebat cemeti

berdarah duka fasal sesal

nostalgia katamu

nostalgia kata mereka

tidakkah agama itu nostalgia moyangnya Adam

dan Hawa

berdua melahirkan manusia

seorang tulus seorang culas

kau belitlah lilitan di kepalamu

kau gantunglah sijil di dindingmu

nah, di sana ada yang membelit perutnya

nah, di sana ada yang digantung musuhnya

ditembus peluru, dirodok pedang

kamu masih berwirid keseorangan


bukannya semalam sahabat

ianya cerita purba

yang kau baca, selak dan teliti

gelak dan mengeji, itulah kerjamu

kebodohan mengetuk pintu si dungu

tatkala dia cemburu pada kawannya

yang ummi

tidakkah iman dan taqwa

tersembunyi jauh di sudut hati?


berapa tahun lagi akan kita berduka

berapa purnama lagi hendak kita nestapa

berapa lama lagi kita mahu berkelana


adakah kau tahu saat matimu?

adakah kau sedar dia yang menjengukmu?


kamu menoleh dan masih mencari

Imam yang tersembunyi

sehingga datang saat itu

yang buat kamu terbungkam

sedih bukan kepalang


jangan berkata aku tahu segala

katalah Dia Maha Mengetahui.




12.35pm

23 muharram 1432h

Sirat makna

Ianya berlapis-lapis dalam

dalam kamu memaham

setiap waham nan terbentang

ada rendam nak meradang

ada sepi tenteram


si gila boleh menjerit

bising dan bingit

dia melakukan yang terlarang

tapi bukankah akal yang melarang?


resah dan risau

senyap dan sasau

kata nabi dan rasul

mereka tidak meracau


aduhai segala aduhai

kitab lagi terselak

terlepas surat disirat faham


dalam bulat masa

kamu di tengah atau di luarnya?



1.45pm

22 muharram 1432h

Tertulis

Toh, bukankah semua sudah tertulis?

Apa gila kamu mahu merancang?

bermudik ke hulu

jawabnya ke hulu

bertanya moyang

kembali ke Adam

menangis merintih

dalam sunyi hendak berdua

bila berdua kami terleka

Muhammad dijunjung

selepas baginda terus dilupa

bak terkerat dek simitar

oleh jin bermata satu

yang mahu kita bersuka ria

mahu kita melompat-lompat

terloncat-loncat menyembur makrifat

berbicara benci sesama sendiri

pemidato pakar memaki

membengkok besi lurus

dan ke perut ia terhunus


tatkala kamu membaca di sini

adakah kamu sudah terlupa

asal kejadian?

yang tertulis kukuh di atas awangan?




5.50pm

8 muharram 1431h

Seruling lelaki

Bacalah seribu ayat pujangga

dari pencinta abadi petapa sepi

dan tariklah kelambu siang

yang menyingkap senja di ufuk sana

kau kan temui seorang lelaki

yang termangu sendiri

jernih air memeluk matanya

dialah aku

seorang lelaki

yang para wanita tak pernah akan kenal

biarpun mereka merobek-robek hati

mengoyak gelojak jiwa

kerana apa yang mereka temui

bukanlah permata mahupun mutiara

tetapi seruling paling merdu

yang lembut membelai hati wanita

biarpun sekadar sekejap cuma.




6.15pm

3 muharram 1432h

Baqa dan fana

Antara diam dan bising

ada kata mula yang sering

hinggap di lekuk lubang

ke gegendang ia terbang

burung juga balik ke sarangnya


beza dua dari satu

adalah bilangan dan tuju

berhala tak wujud

pabila tempat tak bersahut

tiada tak sama dengan ada


baqa yang diidam insan

fana yang diludah-ludah

malapetaka dan nikmat

yang tak pernah berubah


tetap saja

geser pada garis itu

yang telah digores

dari awal

hingga penamat kata.




5.15pm

1 muharram 1432h

7.12.10

Haiku Mu-ra-yu (Melayu)

kicauan bulbul
lagu membuai syahdu
bulan sendiri

**

mentari semi
terik mulai pancar
tumbuhan mekar

**

katak menyanyi
tanah basah dan lecah
awan menangis



3.20pm
1 muharram 1432h

3.12.10

Aku masih hidup

setiap dencing dan geser
syiling dan kertas
mengujakan
memukau khalayak dengan dongengan

'kami masih di sini'
berkata para alim berjubah
para atheis dan peludah
semuanya
cetek dan dalam
budi dan iri
dendam dan sayang

'kami masih di sini'
membulat dan menyelubungi kutub
berpusar pada bayang ilusi

'kami masih di sini'
dan ternyata
'aku masih hidup'.


26 zulhijjah 1431h
3.00pm

1.12.10

Nyala pada gelita

setia pada getarnya
segala cahaya berkembang
ke pelusuk kegelapan
ke ceruk gelita
mendengus pada kealpaan
mencarik gebar bayang
yang selama ini melitupi badan
api mencair lilin kesombongan
yang keras bertapak
atas datar nafsu-nafsi duniawi

nafas yang disedut lepas
adalah kerdip-kerdip nyala
sebelum ia terang-benderang
pada akhirnya.


11.23am
28 nov 2010

Ratap abadi

Hu hu hu
kata mereka dalam lingkungan bulatan
Hu hu hu
kata diri dalam perjalanan
kata kita sewaktu berhadapan
dengan Pemegang segala Kunci Kebenaran

merataplah dalam ratapan abadi
di dunia sementara ini
kerana ia tidak kekal
sehingga sewaktu kamu melihat tetangga berlonjak-lonjak
untuk menatap wajah-Nya.


1.26pm
16 zulhijjah 1431h

Serlah wajah

Tersuluh sudah segala cerminan
spektra kejelitaan dan menawan
diimbas muka pada rupanya
hati pada dadanya
ditarik segala garis lurus
melengkok ke arah asal
membalik kepada tuan
memutar kepada paksi
menderu dibawa angin
ke lapis atas langit
tempat bertapa para jin
yang sering kesepian memerlukan teman
lalu dicarik cahaya
melitupi dan selubungi
topeng selut dan tengkorak
lalu menyerlah
mencerah
memberi wajah
pada segala resah gundah.



12.55pm
16 zulhijjah 1431h