28.2.11

Kami Pendosa

Tertanggung pada pundak
kami yang berjalan terhinjut
ada yang mengengsot
ramai menampar-nampar dadanya
sesal dan sedih
terhadap dosa-dosa silam


'kami hanya manusia'
suara itu bergema seribu tahun
dari waktu putik berbuah
Adam terbangun
Iblis mulai gah
malaikat merafak sembah
dan Allah Maha Tahu
segala yang telah
dan akan berlaku


kami pendosa
takut tak terkata kami
tatkala
cemeti Zabaniyah dilibas
Hutomah membara panas
Hawiyah bergelegak puas
Jahanam menderam
Jahim terbuka luas
Saqar tak pernah mungkar
Sijjin dan Wail ternganga lapar


kami pendosa
diulang-ulangnya lagi
dilaku-lakukan lagi
kerana kami terlupa
yang Allah Maha Pembelas
Melapangkan setiap dada
setelah sempitnya nafas.



1.37pm
30 Muharam 1432h

0 soaljawab: