Setiap kali kau terjaga
dari tidur malam-malam nan lepas
kau cuba mengingat
akan setiap sejarah lalu
anehnya
hanya sekelumit ingatan suka dan duka
yang padanya ada gembira dan sedih
ada aib dan bangga
banyaknya kau lupa
pada nama dan wajah
pada saat dan detik gelisah
yang telah memberi kau pengajaran
juga pengalaman berharga
tanpa kau sedari
kerana kau asyik terlena
pada siang harinya
dek terpukau pada indah khayal
lengkuk pelangi dan gumpal awan
cicip burung yang mengajak kau ke sana sini
padahal
dalam ingat kau takkan lupa
pada hari yang tetap datang, akhirnya.
Tanggalkan pakaian yang memberati langkahmu
alihkan wajah daripada cekcokan pengumpat dunia
abaikan tangisan pencuri yang terpotong tangannya
usah hirau kepada para penjual janji di pasar pagi
derhakalah kepada guru yang menanam emas di belakang rumah
buangkan rasa gundah ke dalam sungai yang mengalir deras
kerana ia akan membawanya ke lautan luas dan dalam
bergembiralah dalam kefakiran kerana dengannya kau sentiasa meminta
laungkan kebebasan dalam penjara abadi yang membelenggumu sejak lahir
bercumbulah dengan pekat malam
kerna serlah bidadarinya dek cerah bulan
dalam kesejukan embun yang menggigil
bukan terik suria yang membutakan mata
kerana pada ketika itu kau sedang sibuk berjualbeli
tawar-menawar demi seketul daging yang akan membusuk
sekiranya datang kepada kau seorang tabib
yang memberi kau sebotol ubat untuk hidup abadi
katakan kepadanya, 'bahkan kaulah yang memerlukannya!
kerana aku hidup tanpa badan, aku meminum tanpa kucupan mulut'.
Pernah ditanya kepada Sang Nabi, 'apakah dunia ini?'
'ia tak lebih dari bangkainya seekor domba'
ia adalah padang permainan kanak-kanak yang sering merajuk
dan saling berebut untuk menunggang kuda kayu.
Ingatlah pada hari itu
pada hari kata-kata sendiri menjadi saksi
tingkahlaku badan bah menghakimi
di mana kau tak berupaya menuduh dan menunjuk-nunjuk
yang diadili hanya akur tertunduk
di hadapan Mahkamah Agung
namun, di dalam pelukan Maha Pengasih juga Maha Penyayang.
2.00pm
10 Oktober 2011
0 soaljawab:
Catat Ulasan