27.11.11

Sajak Untuk 'Ali

Jariku berseli selang
menaip sajak ini khas untukmu wahai Ali, anakku
ia mungkin adalah irama indah
untuk dibaca dalam sejuta madah
seperti hikmah Luqman kepada anaknya
atau ketika teriakan Nuh memecah gelap awan
demi menyelamatkanmu
wahai anak-anak sekalian
kau pernah membaca tatkala firaun mengelar bayi-bayi di negerinya?
Tak sedar dia bahawa ketajaman bucu mahkota sendiri yang akan merobek hati
kenapa denganmu wahai Adam dan Hawa?
mengapa kau menetapkan pasangan kepada mereka?
atau kau berdua mendengar perintah 'sunyi' di sebalik dinding tebal?
Yang jaraknya senipis helaian rambut terbelah seribu
lalu manusia mula mengangkat senjata?
Demi mengecap nikmat sekejap.

Ya Ali,
apakah mahu kamu kuceritakan tentang anak pertiwi Lut?
Yang tak ingin mengendong, namun terpana pada wajah nan indah
sungguh mereka melukakan jari sendiri dengan hirisan pisau ketakjuban
yang akhirnya akan berubah merah
setelah selakan cebis daging dan urat
yang dihubung kepada kemaluan mendesah syahwat
gugusan titis peluh
hanya memberi letih jenuh
betapa payah manusia mengekang
deru ombak yang merentasi kudrat sendiri.

Wahai Ali,
pembacaan memberi kau sejumlah pesan
yang dibuku dalam kitab kebenaran
ini sedikit sajakku buatmu
yang lebihnya
kau gali sendiri
dalam memahami segala ganjil janggal
keluk datar duniawi.

Salam sayang dariku
ayahmu di dunia ini.


12.11.2011
1.22am

0 soaljawab: